Kisah Makanan dari Langit. Manna dan Salwa kurniaan rezeki dari Allah iaitu Rezeki dari Langit untuk Nabi Musa a.s dan pengikutnya. Sedikit makanan yang diturunkan dari langit untuk Nabi Musa a.s dan pengikutnya ketika mereka tersesat di padang pasir Manna. Makanan dari Langit iaitu Manna dan Salwa ini masih ada hingga ke hari ini. Rezeki dari Langit Mana dan Salwa tersimpan di dalam Peti Tabut hingga ke hari ini
Manna dan Salwa di dalam Peti Tabut
Peti Tabut adalah sebuah peti yang mengandungi dua buah batu Loh yang tertulis penulisan Kitab Taurat Nabi Musa a.s, sebatang tongkat Nabi Musa a.s yang digunakan untuk membelah lautan semasa dikejar Firaun, serban Nabi Harun a.s dan sedikit Makanan dari Langit untuk Nabi Musa a.s dan pengikutnya ketika mereka tersesat di padang pasir Manna. Kisah penuh Peti Tabut The Ark Of Covenant, sila rujuk Rahsia dan Misteri Peti Tabut.
Manna dan Salwa - Kisah Makanan dari Langit
Manna dan Salwa ialah Makanan dari Langit kurniaan rezeki dari Allah atas doa Nabi Musa a.s untuk umatnya. Namun Bani Israil yang tidak bersyukur atas rezeki dan pertolongan dari Allah. Kisah Makanan dari Langit - Manna dan Salwa ini ialah Huraian dari Tafsir Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 57-61
40 Tahun Terperangkap di Padang pasir At-Tih
Setelah Nabi Musa a.s berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir menuju ke Palestin, rombongan ini tersesat di sebuah Padang Pasir At-Tih yang terletak di kawasan semenanjung Sinai. Ada juga pendapat lokasi padang pasir ini terletak di Urdun Jordan. Mereka berada di padang pasir ini selama empat puluh tahun.
Dalam tempoh itu mereka mengalami pelbagai penderitaan dan kepanasan yang amat sangat. Justeru Allah SWT telah melindungi mereka dengan awan supaya mereka dapat berteduh dari dari panas dan juga dikurniakan Makanan dari Langit yang berupa Manna dan Salwa.
Makanan dari Langit Manna dan Salwa
Menurut lbnul Mundzir dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahawa Manna adalah suatu makanan manis, berwarna putih yang mereka dapati setiap pagi melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir yang memberi erti Manna ialah madu. Jika dimakan, mereka akan merasa kenyang. Adapun Salwa pula ialah nama sejenis burung sebesar burung puyuh berwarna putih yang terbang berbondong-bondong dan mudah ditangkap. Ia adalah sumber rezeki buat mereka sebagai pengals perut yang mengenyangkan.
Dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada Bani Israil, maka sepatutnya mereka bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya jika mereka tidak bersyukur, maka merekalah yang sebenarnya menganiayai diri mereka sendiri, sedangkan Allah SWT sedikit pun tidak akan dianiayai dengan sebab kekufuran mereka.
Bangsa Yahudi yang Degil dan Ingkar
Setelah empat puluh tahun mereka di padang pasir at-Tih, rombongan Bani Israil yang dipimpin oleh Nabi Musa ini kemudian berjaya masuk ke negeri Palestin yang subur dengan hasil makanan dan rezeki. Allah SWT memerintahkan supaya mereka masuk dengan tunduk sambil mengucapkan 'Hittoh' yang bererti meminta ampun daripada Allah SWT. Jika perintah ini mereka lakukan, nescaya Allah SWT akan memberi mereka kebaikan dalam bentuk pahala
Kaum Bani Israil ini tidak tahu bersyukur kerana mereka tidak patuh kepada perintah Allah . Mereka masuk ke Palestin dengan sombong manakala perkataan 'Hittoh' pula mereka ganti kepada 'Hintoh' yang bererti minta gandum dari Allah SWT. Di sebabkan kedegilan mereka itu, Allah SWT turunkan kepada mereka azab dari langit yang berupa penyakit taun yang membawa kematian beribu-ribu nyawa dari kaum Bani Israil.
Kesemua kisah ini Allah SWT ceritakan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam untuk menunjukkan betapa degil dan keras kepalanya bangsa Yahudi untuk mematuhi perintah Allah SWT.
Lemah Semangat dan Mudah Berputus Asa
Allah SWT menjelaskan sewaktu kaum Bani Israil merentas padang pasir menuju ke Palestin, mereka merasa dahaga yang amat sangat. Mereka mula berputus asa dan merungut-rungut kepada Nabi Musa mengapa mereka di bawa ke tempat yang tandus tiada air sedangkan kalau di Mesir dahulu walaupun diseksa oleh Firaun tetapi tidaklah sampai mereka haus dahagakan air. Seolah-olah kehidupan yang di bawa oleh Nabi Musa a.s lebih sengsara daripada apa yang mereka alami semasa di Mesir. Di sinilah Allah SWT mahu menunjukkan kepada Rasullullah dan umat Islam betapa lemahnya semangat juang kaum Bani Israil.
Melihat kaumnya yang berputus asa seperti itu, Nabi Musa a.s berdoa kepada Tuhan agar mereka dikurniakan air. Lalu Allah SWT memerintahkan baginda supaya memukul tongkatnya di atas batu. Dengan izin Allah terpancarlah dua belas mata air yang mencukupi untuk mereka minum dan menghilangkan dahaga. Dengan nikmat makan dan minum ini Allah SWT mengingatkan kaum Bani Israil supaya tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.
Tamak dan Tidak Bersyukur
Ayat ini menjelaskan betapa tidak bersyukurnya kaum Bani Israil, setelah diberi Makanan dari Langit berupa Manna dan Salwa serta diberi minuman yang menghilangkan dahaga, namun mareka tetap merungut dengan mengatakan mereka sudah jemu dengan makanan-makanan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Mereka meminta supaya Nabi Musa memohon kepada Tuhan agar dikurniakan pula makanan yang berupa sayur-sayuran, mentimun, bawang putih, kacang dal serta bawang merah.
Mendengar permintaan mereka, maka Nabi Musa a.s pun menjawab:
Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?
Ini merupakan templakan Nabi Musa ke atas kaum Bani Israil, adakah patut mereka yang telah dikurniakan makanan yang baik berupa madu dan daging burung mahu pula diganti dengan makanan yang rendah mutu dan kualitinya seperti sayur-sayuran, timun, bawang dan sebagainya? Kata Nabi Musa lagi
Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu
Sekiranya kaum Bani Israil mahu juga makanan-makanan seperti itu hendaklah mereka balik semula ke Mesir dan kembali menjadi kaum yang terhina.
Kaum Bani Israil Ingkar dan Hina
Kaum Bani Israil itu menjadi hina serta papa dari sudut akhlak dan moralnya kerana mereka mengingkari perintah-perintah Tuhan yang terkandung dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Mereka turut membunuh para anbiak seperti Nabi Zakaria, Yahya dan lain-lain sehingga ada riwayat menyatakan jumlah keseluruhan para Nabi yang menjadi mangsa pembunuhan mereka ialah seramai 70 orang.
Selain itu mereka sering menceroboh hukum-hukum Allah SWT dengan cara meminda ayat-ayat dan firman Tuhan mengikut selera dan kehendak nafsu mereka. Kisah Makanan dari Langit Manna dan Salwa. Walaupun mendapat kurniaan rezeki istimewa dari Allah iaitu Makanan dari langit, namun Bani Israil tidak bersyukur dan tetap Ingkar serta menentang hukum Allah. Berterusan Kaum Bani Israil itu menjadi hina serta papa dari sudut akhlak dan moralnya. Sisa Makanan dari Langit Mana dan Salwa masih tersimpan di dalam Peti Tabut yang kini Bangsa Yahudi masih berusaha mencarinya. Kisah penuh Peti Tabut The Ark Of Covenant, sila rujuk Rahsia dan Misteri Peti Tabut.
Wallahu’alam bissawab
Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya
Artikel ditulis oleh RaimiSyazwan
Artikel Berkaitan
GO TO [ Pseudosupra Sitemap ]
No comments:
Post a Comment
I just wanted to thank you for visiting ♌¹³ Pseudosupra | aLife Blog and willing to read this entry. I appreciate it from the bottom of my heart. Keep in touch and for further concerns, please do not hesitate to give your comment for my future entry. Wish you a great day.
Regard & Much more respect ~ Raimi Syazwan Abdul Rashid
✎All Comments and criticism can be delivered via the comment space below.