Noramfaizul Mohd Nor : Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia

Al Fatihan to Noramfaizul Mohd Nor

2 September 2011
Noramfaizul Mohd Nor (lahir 14 November 1971) merupakan seorang jurukamera Bernama TV (39), maut akibat terkena tembakan peluru sesat (tembakan curi) semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 2 September 2011. Beliau adalah wartawan Malaysia pertama terbunuh ketika membuat liputan di luar negara.

Noramfailzul pernah bekerja dengan Filem Negara , 13 tahun dahulu. Pada 2 Mac 1997, beliau nyaris terbunuh ketika mengambil gambar dari udara (aerial shot) tentang lumba basikal antarabangsa Le Tour de Langkawi 1997. Pada saat akhir, beliau tidak jadi menaiki Cessna 172 milik Mofaz Air, terhempas di kawasan belukar berpaya di Kampung Bakau, Kelibang, pulau Langkawi. Seorang juruterbang dan dua juru kamera terbunuh. Selepas peristiwa itu, Noramfaizul bertukar ke syarikat MetroVision. Ekoran syarikat itu ditutup, beliau menyertai Bernama TV pada 2002.

Noram pernah membuat liputan semasa misi bantuan kemanusian di Gaza,Palestin dan Pakistan dan gempa bumi Chrischurch, New Zealand.



Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan.

Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.



Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.

"Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.

"Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.

Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.

4 September 2011
Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi di Somalia, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Suasana pilu menyelubungi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini apabila pesawat Charlie C-130 yang membawa jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia pada Jumaat lalu tiba kira-kira pukul 10.05 pagi semalam.

Pesawat yang sama turut membawa pulang seramai 16 pengamal media lain yang turut disertai 14 pasukan khas daripada sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, doktor (19) dan krew TUDM (26) yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.



Sejurus tiba, jenazah Allahyarham yang diiringi Abdul Azeez disambut anggota keluarga termasuk ayah Allahyarham, Mohd. Nor Mat Yassin, 66, dan ibunya, Naemah Abd. Majid, 63.

Pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran bukan saja ahli keluarga bahkan sahabat handai serta rakan media, termasuk kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan BernamaTV.
Selepas bacaan talkin disempurnakan, ahli keluarga Noramfaizul menyiram air mawar dan menabur kelopak bunga di pusara Allahyarham yang terkorban selepas terkena tembakan di Mogadishu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama petugas media Malaysia lain untuk pulang ke tempat penginapan pada Jumaat.
Mereka berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.

Turut berada di tanah perkuburan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Antara warga BERNAMA yang hadir ialah Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Sulaiman; Pengurus Besar, Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang, Datuk Yong Soo Heong.

Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Noramfaizul serta 54 anggota misi tersebut, tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 10 pagi dengan disambut ibu bapa arwah, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan Naemah Abd Majid, 63 serta kaum keluarga yang lain.
Turut menyambut ketibaan jenazah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet.

Keranda dibaluti bendera "Jalur Gemilang" kemudiannya dibawa ke Masjid TUDM untuk solat jenazah sebelum dibuka bagi membolehkan ahli keluarga dan hadirin lain menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Naemah dilihat menitiskan air mata sewaktu menatap wajah anak sulung kesayangannya yang juga anak lelaki tunggal daripada enam beradik.

Balu Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki arwah, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3, turut berada di masjid berkenaan dan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Najib dan Muhyiddin ialah antara kenamaan yang turut menunaikan solat jenazah buat Allahyarham, yang disifatkan sebagai wira negara oleh Perdana Menteri.

Jenazah Noramfaizul kemudiannya dibawa ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya, seterusnya ke Masjid Al-Islah berdekatan untuk sembahyang jenazah untuk kali kedua sebelum disemadikan. - BERNAMA

-¹³ - Honor & Respect

raimisyazwan signature


Artikel ditulis oleh RaimiSyazwan



Artikel Berkaitan

GO TO [ Pseudosupra Sitemap ]





No comments:

Post a Comment

I just wanted to thank you for visiting ♌¹³ Pseudosupra | aLife Blog and willing to read this entry. I appreciate it from the bottom of my heart. Keep in touch and for further concerns, please do not hesitate to give your comment for my future entry. Wish you a great day.

Regard & Much more respect ~ Raimi Syazwan Abdul Rashid

All Comments and criticism can be delivered via the comment space below.

linkreferral
Natang Ngoh