Kisah Seram | Makhluk itu Bergigi Taring




AMARAN: Bukan untuk bacaan kanak-kanak di bawah umur. Juga bukan untuk mereka yang lemah semangat dan  tinggi kandungan kolestrol dalam darah. Saya tidak bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa atau metal.

Halim tak sedap hati. Sudah hampir 2 jam rakan-rakan serumahnya keluar membeli burger Ramlee di tepi jalan besar di hujung kampung. Namun kelibat mereka masih belum kelihatan.

Perut Halim sudah berkeroncong mendendangkan lagu Justin Bieber, Jalil Hameed dan Maher Zain. Diorang ni pergi beli burger ke buat burger? Rungut Halim di dalam hati. Halim yang memakai kain pelikat dan pagoda putih tak senang duduk. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Kadang-kadang di ke pangkin rumah untuk menjenguk kalau-kalau rakan-rakannya itu sudah pulang. Jam sudah pun menunjukkan pukul 10.30 malam.

Aku pun satu, kenapalah tak ikut diorang tadi..?

Halim bukan apa, dia penakut sebenarnya. Rumah sewa mereka terletak di hujung kampung, agak jauh daripada rumah-rumah yang lain. Selain lampu rumah Halim, tiada lampu lain yang dipasang di kawasan yang berdekatan menjadikan sekitar kawasan rumah Halim itu agak gelap.

Tidak jauh daripada rumah itu mengalir sebatang sungai yang bunyi airnya amat jelas kedengaran di waktu-waktu malam sebegini. Bunyi unggas dan serangga hutan turut memeriahkan suasana malam di kampung itu. Halim menonton televisyen untuk menghilangkan kerisauan dan kebosanannya. Sedang dia khusyuk menonton siaran ulangan Siti Kelembai, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Gelap.

Sudah.

Halim duduk diam terkedu. Dia menjangkakan gangguan elektrik itu sebentar sahaja kerana kejadian sebegitu rupa sering terjadi di kampungnya. Namun setelah lama menunggu, tiada apa yang berlaku. Pelik. Yang lebih pelik, gelapnya luar daripada biasa. Halim tidak berupaya melihat apa-apa, walaupun sudah 4-5 minit berlalu.

Halim juga perasan yang persekitarannya juga tiba-tiba sahaja sunyi. Langsung tidak kedengaran bunyi sungai yang mengalir atau unggas yang bekercipan. Halim rasa kalau ada sehelai daun yang jatuh pasti dapat didengarinya dalam keadaan yang sungguh sunyi itu.

Halim bangun dari tempat duduknya. Dia berjalan dengan berhati-hati menuju ke arah kotak fius elektrik di luar rumah. Halim berasa agak gelisah sebenarnya. Namun dia lebih rela untuk keluar rumah dalam keadaan yang gelap gelita daripada duduk diam tidak berbuat apa menunggu bekalan elektrik berfungsi semula. Dia membuka pintu rumahnya perlahan-lahan. Dia perlu berhati-hati kerana jika tidak, dia mungkin tersadung sesuatu menyebabkannya terjatuh tangga.

Dia meraba-raba, mencari kotak fius di tepi dinding rumah. Matanya mula terbiasa dengan keadaan yang gelap itu. Samar-samar dia mula dapat melihat sekeliling. Dia akhirnya berjaya mencari kotak fius itu. Dia mencuba-cuba menarik tombol di dalam kotak itu, namun tiada perubahan. Dia melihat sekeliling; langsung tiada sebarang sumber cahaya. Ini bukan rumah aku je yang kena ni..

Tiba-tiba Halim mendengar sesuatu. Sayup-sayup dia dapat mendengar bunyi air sungai tidak jauh daripada rumahnya itu. Tetapi ini bukan bukan bunyi air mengalir; tetapi bunyi seolah-olah ada sesuatu yang sedang melintasi sungai itu.

Gulp.

Halim mula berasa tidak sedap hati. Entah kenapa bulu roma di belakang lehernya tiba-tiba menegak. Dia mengambil keputusan untuk masuk semula ke dalam rumah. Ketika dia berpusing untuk masuk semula ke dalam rumah, matanya menangkap sesuatu tidak jauh daripada tempat dia berada. Dia ternampak bayangan seekor binatang berkaki empat sedang berlari laju. Bukan harimau. Bukan juga rusa. Binatang apa berwarna putih berkilat..? Sumpah dia nampak ada suatu makhluk yang berlari.

Halim cepat-cepat masuk ke dalam rumahnya dan menghempas pintu, menutup dan menguncinya rapat-rapat. Jantungnya berdegup lebih 150 degupan seminit. Peluh dingin mula membasahi dahi dan ketiaknya. Halim perlahan-lahan berundur ke belakang, sambil telinganya cuba menangkap apa-apa bunyi yang mungkin ada. Tiba-tiba Halim tersadung sesuatu. Dia lantas jatuh terlentang.

Halim kebingungan. Dan ketakutan. Seingatnya, tiada apa di laluannya ketika dia keluar memeriksa kotak fius tadi. Halim sengaja membiarkan dirinya terbaring lama, separuh sebabnya kerana dia memang kesakitan. Separuh lagi kerana dia tidak berani untuk berhadapan dengan realiti. Dia teringat ketika dia tersadung  sesuatu tadi, betisnya dapat merasakan sesuatu itu seperti berbulu.

Halim perlahan-lahan bangun. Dia memberanikan juga dirinya untuk melihat ke belakang. Dia seperti tidak percaya apa yang dilihatnya.

"Wan..!! Ya Allah..! Bila kau balik...?? Kenapa aku tak perasan kau balik..? Li ngan Mat mana..??"

Entah kenapa Halim begitu teruja melihat rakan serumahnya, Safwan berada di depan matanya. Mungkin di keadaan sebegini dia amat memerlukan teman. Tapi Safwan kelihatan amat pucat dan tidak bermaya. Rambutnya kusut masai. Walaupun gelap, Halim masih dapat melihat pakaian Safwan compang camping dan sedikit kotor, seolah-olah Safwan baru keluar dari hutan.

"Wan..? Wan? Wan! Kau ni kenapa..? Ko ok tak ni..??"

Safwan tidak menjawab. Halim menggoncang-goncangkan tubuh rakannya itu, tetapi Safwan masih tidak memberikan sebarang respon. Halim sedikit kaget kerana tubuh badan Safwan sangat sejuk. Seperti mayat.

Halim melepaskan badan rakannya itu. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia mula menjauhkan dirinya daripada rakan serumahnya itu. Ini bukan Safwan. Bukan.

Sekadar nak menyerikan suasana. Hihihi..
Tiba-tiba henpon Halim berbunyi. Syukurlah! Dia segera mendapatkan henponnya itu, yang diletakkan di atas meja makan di ruang tamu. Nada dering 'Insha-Allah' nyanyian Maher Zain masih berbunyi rancak ketika Halim memegang henponnya itu. Halim rasa seperti nak terkencing apabila melihatkan nama yang terpapar di skrin henpon Sony Ericsson W980nya itu.

Safwan.

Halim terketar-ketar, menekan butang hijau dan mendekatkan henpon ke telinganya. Dia dapat mendengar dengan jelas suara Safwan memanggil-manggil namanya di talian. Henponnya itu terlepas daripada pegangannya. Ini mustahil.

Halim memberanikan diri untuk memandang 'kawannya' yang masih terduduk di atas lantai itu. Tiba-tiba Safwan, atau makhluk yang menyerupai Safwan, yang semenjak tadi hanya tertunduk, mengangkat kepalanya perlahan-perlahan. Dia menoleh dan memandang tepat ke arah Halim. Kemudian dia tersenyum. Senyuman yang bisa membuatkan mana-mana nenek yang sakit jantung dan darah tinggi menempah lubang kubur ketika itu juga.

Dan makhluk itu bergigi taring. Cukup panjang dan tajam. Pasti tiada masalah untuk memakan ayam goreng KFC. Halim menelan air liurnya. Ini Drakula.

Entah mengapa Halim seperti terpaku di tempatnya. Dia takut. Sangat takut. Tetapi kakinya kejang, kebas. Dia langsung tidak dapat menggerakkan kakinya. Drakula itu mula bangun perlahan-lahan. Dia langsung berjalan ke arah Halim. Halim terketar ketakutan. Ya Allah, selamatkan hambaMu ini ya Allah! Aku banyak lagi dosa padaMu, jangan matikan aku lagi!

Halim mahu menjerit, atau membaca doa-doa yang diingatinya, atau melaungkan azan. Tetapi lidahnya kelu tidak dapat berbicara. Halkumnya seperti beku, tidak lagi dapat berfungsi. Halim benar-benar dalam ketakutan yang amat. Drakula itu semakin dekat. Senyumannya juga semakin menakutkan.

"Haaaaaliiiimmmmm..."

Si Drakula mendengus perlahan.

"Haaaaaliiiiimmmmm..."

Si Drakula semakin dekat. Tinggal dua tiga kaki sebelum Drakula itu sampai kepada Halim. Halim tak perasan pun seluar dalamnya sudah basah. Dia betul-betul ketakutan.

Akhirnya si Drakula berada betul-betul di depan Halim. Dia mula mengangkat kedua tangannya perlahan-lahan. Halim menangis ketakutan. Sumpah seumur hidup dia tak pernah rasa takut sebegitu. Halim tidak mampu berbuat apa-apa. Dia pasrah. Dia menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Ketika itu dia mula terbayangkan mak dan ayahnya di kampung. Hutang-hutangnya yang masih belum dilangsaikan. Juga anak dara Pak Abu yang sering diusiknya.

Kedua tangan si Drakula diletakkan di atas bahu Halim. Drakula itu kemudian perlahan-lahan menunduk ke depan, dengan kepalanya diletakkan di tepi leher Halim, bersedia untuk menghisap darah Halim. Halim memejamkan matanya sekuat hati. Tak sangka aku mati digigit Drakula. Halim sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan, apabila si Drakula berbisik perlahan...

"Selamat Hari Lahir kedua puluh lima Halim..."

Wahahahahaha.. Tiba-tiba si Drakula ketawa sekuat hati terguling-guling. Drakula itu memegang perutnya menahan gelak, tidak tertahan lagi. Tiba-tiba bekalan elektrik terpasang semula. Rumah Halim cerah semula. Televisyen yang sedang ditontonnya tadi bersiaran semula.

"Seppprrraaaaisss...!!"

Li dan Mat, dua lagi rakan serumahnya menerjah masuk ke dalam rumah sambil memegang kek Secret Recipe yang mereka beli di bandar petang tadi. Chocolate Indulgence. Dua batang lilin besar dan lima batang lilin kecil terpacak di atas kek. Wajah mereka berdua cukup berseri-seri. Tersenyum lebar hingga ke telinga. Anak dara Pak Abu, si Melah  dan beberapa lagi kenalan turut serta.

Mereka menyanyikan lagu 'Allah Selamatkan Kamu' beramai-ramai sambil menepuk tangan dengan rancak dan gembira sekali.

Malam itu Kampung Selero Minang kecoh dengan bunyi bising anak-anak muda terjerit-jerit seperti orang gila. Penduduk kampung yang keluar melihat, sangat yakin yang mereka ternampak seorang anak muda berkain pelikat berbaju pagoda mengejar beberapa orang  yang ketawa mengilai dengan parang panjang Siam.

Tamat.

Penulis|Sumber: Inche Gabbana


 ¹³ - Honor & Respect
raimisyazwan signature

Artikel ditulis oleh RaimiSyazwan



Artikel Berkaitan

GO TO [ Pseudosupra Sitemap ]





3 comments:

  1. haha.. berbakat ni bro. Tadi saya expect kat bawah entri akan ada gambar hantu super seram jadi scroll perlahan2. Rupa2nya cerita seram l***k. <- takut spoiler kat yang belu membaca. haha..

    ReplyDelete
  2. Ni karya asal blogger inche gabbana, link sumber ada kat last cerita..

    ReplyDelete
  3. Es conforme, esta opiniГіn entretenida
    http://www.elcoru.com/

    ReplyDelete

I just wanted to thank you for visiting ♌¹³ Pseudosupra | aLife Blog and willing to read this entry. I appreciate it from the bottom of my heart. Keep in touch and for further concerns, please do not hesitate to give your comment for my future entry. Wish you a great day.

Regard & Much more respect ~ Raimi Syazwan Abdul Rashid

All Comments and criticism can be delivered via the comment space below.

linkreferral
Natang Ngoh